- 
                                                         
-  Foto: Sumber Internet
                                                      
 
KETIKA saya dan suami berkunjung ke Melaka untuk menziarahi sahabat, 
kami mengambil peluang singgah ke Kota A Famosa, monumen bersejarah yang
 menjadi kebanggaan bandar raya pelancongan itu.
 Selepas puas menaiki beca keliling bandar, kami singgah ke surau di 
Bandar Hilir untuk Solat Asar. Ketika itu, panas mentari masih terik 
walaupun sudah menjengah petang.
 Saya duduk di atas bangku menunggu suami yang saya fikir masih belum 
keluar dari surau. Rupa-rupanya, dia sudah pun bersembang dengan seorang
 penarik beca tidak jauh dari tempat saya.
 Ketika saya menghampiri mereka, perbualan sudah pun tamat. Suami 
mengiringi langkah pakcik beca itu dengan pandangan seribu makna 
membuatkan saya hairan dan tidak sabar mahu bertanya.
 "Kenapa? Macam serius bersembang?" Soal saya ingin tahu.
 
 Sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia mengajak saya masuk ke kereta 
kerana petang itu juga kami perlu sampai ke Shah Alam atas urusan lain.
 
 “Sembang apa?” Soal saya lagi selepas memasang tali pinggang keledar. Suami masih menggelengkan kepala sambil menjawab,
 
 “Lepas ni, jangan kedekut untuk bersedekah. Malu betul saya dengan pak cik tadi,”
 
 Eh, lain pula yang dia jawab. Saya masih meneka-neka dalam hati. Kenapa
 pula suami jadi macam ni? Nak tanya lebih-lebih, bimbang terlalu 
mendesak pula. Akhirnya, saya diamkan sahaja.
 
 
Dermakan segumpal wang
 
 Separuh perjalanan suami membuka cerita. Katanya, keluar sahaja dari 
surau, dia berjalan-jalan untuk melihat orang ramai di situ. Sedang 
berjalan-jalan, dia disapa seorang kanak-kanak berusia lingkungan 11 
tahun.
 
 Kanak-kanak itu menjinjit beg sandang berisi buku agama dan panduan 
solat sunat. Dia mendekati suami dan seperti yang mungkin anda biasa 
lalui, dia mempromosikan buku itu atau sekurang-kurangnya minta anda 
menderma.
 Walaupun hairan dengan kewujudan kanak-kanak itu, suami menghulurkan 
juga RM1 dan menolak untuk membeli bukunya. Dengan langkah berat, 
kanak-kanak itu beralih pula kepada pakcik beca yang sedang menunggu 
pelanggan kira-kira 10 langkah daripada suami.
 Dari jauh suami memerhati gelagat kanak-kanak itu. Lelaki lewat 50an 
itu pada mulanya menyerahkan RM5. Tersenyum kanak-kanak itu tadi apabila
 pakcik beca juga menolak untuk menerima buku daripadanya.
 “Pakcik derma saja,” jawab lelaki tua itu.
 
 Selepas kanak-kanak itu pergi, dia menyeluk pula saku seluarnya dan 
mengeluarkan segumpal RM1 dan RM5. Kalau dicongakkan, mungkin lebih 
RM20.
 “Adik!” Lelaki tua itu menjerit memanggil semula kanak-kanak yang sudah
 beberapa langkah berlalu darinya. Kanak-kanak itu berpaling dan berlari
 perlahan mendekati pakcik beca semula.
 “Nah ambil ni,” katanya sambil menepuk-nepuk bahu si kecil.
 Kanak-kanak itu kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih
 dan menghadiahkan senyuman sebelum bersalam mencium tangan pakcik itu, 
dan berlalu pergi. Ketika itulah suami yang kehairanan mendekati pakcik 
beca.
 
 
Upah naik beca
 
 Suami memberi salam dan disambut mesra pakcik beca. Apabila suami amati, lelaki itulah yang membawa kami bersiar-siar tadi.
 
 “Saya perhatikan pakcik, mula-mula pak cik beri RM5, lepas tu beri lagi segumpal duit. Banyak tu. Kenapa ye?” Suami bertanya.
 Dengan senyuman lelaki tua itu menjawab “Saya kesian.”
 
 Jawapan pakcik itu bersahaja tapi ia membuatkan suami lebih hairan.
 “Tapi, pak cik pun kerja bawa beca. Itu pendapatan hari ini ke?” soalnya.
 
 “Tak apalah. Saya ni masih kuat lagi. Boleh bawa beca tu cari duit 
lain. Tapi budak macam tu sepatutnya pergi sekolah. Terpaksa cari duit 
dengan cara macam tu. Apalah sangat akal seorang budak,” jawabnya lagi.
 
 "Tapi, mana tau ada sindiket ke, menyamar ke, atau..." ujar suami yang 
mahu memberi alasan lain sebelum pakcik itu tiba-tiba memintas 
kata-katanya.
 "Pak cik tak fikir sejauh itu. Ia urusan ALLAH. kita doa yang baik-baik saja pada mereka," jawabnya.
 
 Suami terpempan dengan jawapan pakcik beca. Melihat pakcik beca mahu 
berlalu, suami hulur sedikit wang kepada pakcik itu, tapi dia menolak. 
Suami paksa juga sambil bersalam dan menyelit wang di celah-celah 
tangannya.
 
 “Pakcik anggap saja sebagai upah bawa saya dan isteri naik beca tadi,” 
kata suami memujuk pak cik itu untuk menerima pemberiannya.
 
 Dengan senyuman pak cik itu menjawab, “Pakcik sedekah tadi ikhlas dan 
tak minta balasan. Tak sangka secepat ini ALLAH balas sedekah pakcik,” 
katanya.
 Kenyataannya buat suami rasa terpukul apatah lagi membandingkan 
kemampuan kami dengan pak cik beca yang kais pagi makan pagi, kais 
petang makan petang itu. Saya pula kelu seribu bahasa.
 Memang betul kata pakcik itu. Kadang-kadang, bila ada yang minta 
sedekah, ada saja suara hati yang melarang dengan kata-kata seperti 
mungkin sindiket, kenapa tak kerja, duit hanya cukup untuk bulan ini dan
 pelbagai alasan lain yang mengehadkan saya daripada bersedekah.
 
 Teringat pesan emak, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. 
Banyakkan memberi walaupun hanya RM1. Anda bagaimana? Setiap detik yang 
kita lalui itu ketentuan ALLAH. Dia menghantar kanak-kanak kecil menjual
 tasbih mahupun buku untuk menguji kita. Untuk memberi kita peluang 
berbuat pahala dan mengurangkan dosa.
 Anggap saja, mungkin kita sudah lama tidak bersedekah hingga ALLAH 
datangkan mereka betul-betul di hadapan mata. Soal sindiket atau tidak, 
tipu atau sebagainya, itu bukan urusan kita. ALLAH Maha Mengetahui.