Followers

DISCLAIMER

Segala testimoni /penulisan tentang produk yg dikongsi dilaman ini bukan bertujuan utk merawat, mencegah, mendiagnose apa jua penyakit. Pembaca digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan


Saturday, May 31, 2014

Memecah Dimensi "Makanan Sunnah" Dan Realiti Hari Ini

Bagi pejuang makanan sunnah, mungkin anda perlu baca artikel ini...

Ditulis oleh Norkumala binti Awang. Posted in Artikel
Produk berasaskan "makanan sunnah" seringkali disebut sebagai makanan terbaik. Ia menjadi trend terkini sehinggakan mempunyai permintaan yang tinggi khususnya dalam kalangan umat Islam. Perkara sebegini memberi suatu dimensi baharu dalam dunia pasaran makanan. Masyarakat kita dilihat mempunyai daya inisiatif untuk mencari alternatif dalam penjagaan kesihatan. Walaubagaimana pun, apakah dengan menggunakan produk-produk sebegitu memberi impak maksima kepada kesihatan atau sekadar kelegaan atas sandaran nama Nabi Muhammad SAW?

Benar sekali makanan-makanan yang disebut dalam al-Quran dan menjadi kegemaran serta amalan Nabi mempunyai manfaat dan khasiatnya. Tumbuh-tumbuhan yang disebut dalam firmanNya tidak dapat dinafikan kelebihannya dan inilah yang seharusnya dikaji secara mendalam pada hari ini. Ia bukan bermakna meragui kebenaran yang diturunkan melalui  al-Quran atau mempertikaikan sunnah yang diamalkan, namun sebagai satu pembuktian mengukuhkannya dan masyarakat tidak disogokkan sewenang-wenangnya dengan dakwaan yang tidak berasas.

Persepsi masyarakat pada hari ini bertakuk kepada hanya "makanan sunnah" itu merupakan makanan yang terbaik tanpa ada roh sebenar sunnah yang diamalkan tersebut  sama ada dibudayakan atau tidak, khususnya adab dan etika dalam pemakanan. Lantas ada yang mudah tersinggung terus menyelar sekiranya diusulkan bahawa makanan-makanan sebegini perlu justifikasi dalam pembuktian saintifik. Kenapa perlu kita menyempitkan pemikiran ini? Sedangkan dalam hal ehwal pemakanan khususnya, selagimana memenuhi konsep halal dan tayyib, makanan lain yang halal dan berkhasiat juga mampu meraih pahala. Adab dan etika pemakanan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW menjadi intipati penting untuk diteladani. Contohnya, ada di antara kita suka mencerca makanan sekiranya tidak menyukainya. Tetapi Baginda SAW  tidak pernah menunjukkan ketidaksukaannya. Baginda SAW selalu memerhatikan kebiasaan dan kecenderungannya. Sekiranya tidak biasa memakan suatu makanan yang tiada di negerinya, maka baginda tidak akan berselera dan menahan diri daripada memakannya dan tidak pula melarang orang lain yang menyukainya. Oleh sebab itu, tiada keselarian sekiranya kita mengamalkan makanan yang dikatakan "makanan sunnah" tersebut tetapi dalam masa yang sama tidak membudayakan sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Maka, kesannya, sunnah tersebut telah salah diterjemahkan dalam amalan seharian kita dan ia mencalar integriti umat Islam itu sendiri.

Memang tepat "makanan sunnah" merupakan makanan yang baik dan hebat. Banyak kajian moden yang merungkai dan membuktikan kehebatannya. Namun, Allah juga telah mengurniakan kepelbagaian spesies hidupan lain di muka bumi ini untuk dinikmati oleh hambaNya. Apakah kita lupa bahawa terdapat tumbuhan warisan tempatan di negara kita juga  mempunyai nilai pemakanan yang tinggi? Maka, ia juga perlu dikaji agar benar-benar memberi manfaat kepada kita khususnya. Apakah tumbuhan-tumbuhan yang terdapat di iklim negara kita juga mempunyai nilai pemakanan yang seumpama dengan tumbuhan yang terdapat di negara-negara Arab? Ia merupakan satu perkara yang amat menarik untuk dikaji dan diterokai. Justeru, penerokaan penyelidikan terhadap khazanah tumbuhan di negara kita perlu dirintiskan agar masyarakat menghargai apa yang terdapat di sekeliling mereka.

Satu perkara penting yang perlu diambilkira dalam konteks perbincangan ini ialah saranan Nabi Muhammad SAW dalam mengubati penyakit dengan ubat-ubatan dan makanan yang biasa digunakan. Secara semulajadinya, amalan kebiasaan atau kelaziman adalah seperti tabiat bagi seseorang manusia. Ia mempunyai kesan besar terhadap tubuh badan. Sepertimana seorang ahli perubatan Arab iaitu Harith bin Khaladah mengungkapkan, "pencegahan adalah inti pengubatan. Perut adalah sumber penyakit. Biasakanlah tubuh itu memakan sesuatu yang biasa dimakan." Maka dengan itu, adalah lebih baik sekiranya kita juga meneroka dan menghargai khasiat serta manfaat makanan dan tumbuhan yang berada di sekeliling kita sebagai sumber makanan jua ubatan.

Dalam aspek yang lain, terdapat juga inovasi dari syarikat tempatan yang cuba menduplikasikan makanan yang disebut dalam sunnah secara eksplisit seperti sup talbinah. Perkataan ‘talbin" (gulai daging) menurut al-Harawi bahawa ia seperti susu, putih dan lembut, diperbuat daripada tepung gandum dan sangat bermanfaat bagi orang yang sakit. Sepertimana yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Ahmad dan al-Hakim  bahawa Nabi SAW bersabda, "Hendaklah kamu sekalian memakan makanan yang tidak berapa sedap tetapi bermanfaat iaitu talbin (gulai daging)". Produk tersebut amat berinovasi namun apakah ia adalah sunnah dan bertepatan dengan resepi asal talbinah sepenuhnya sepertimana yang disarankan oleh Nabi SAW? Dilihat dalam konteks terkini berinspirasikan amalan Nabi serta prinsip kebiasaan seseorang individu barangkali aneka sup yang lembut dan sesuai dengan perut boleh diberikan kepada pesakit. Tambahan pula, ia diperbuat daripada bahan makanan yang biasa kita makan. Apa yang dirisaukan adalah sandaran sunnah itu mempunyai nilai kormesial bagi pengeluar produk tanpa mengira kesannya. Apatah lagi sekiranya duplikasi secara eksplisit itu diterapkan dalam sesuatu produk terkini dan dicampur dengan gula tambahan, krimer bukan tenusu dan malt kemudian dilabelkan sebagai sunnah.

Nabi SAW bukan setakat makan makanan yang disebut dalam al-Quran seperti madu, kurma, dan buah zaitun tetapi Nabi SAW juga memakan roti yang diperbuat daripada  tepung gandum, daging dan lain-lain, tetapi mengapakah makanan-makanan sebegini pula tidak dilabel sebagai "makanan sunnah"? Satu persoalan yang boleh dilontarkan agar membuka minda kita. Jelas sekali bahawa persepsi makanan sunnah itu harus diperbetulkan kerana apa yang penting adalah adab dan etika pemakanan yang harus diutamakan. Bukannya mendakwa tentang khasiat sesuatu makanan sunnah tetapi tidak mengetahui sejauhmana ia memberi kesan kepada kesihatan. Bukanlah mengehadkan idea kreatif masyarakat muslim tetapi segala yang hendak disandarkan dengan Rasulullah SAW perlu ada kajian lanjut dan bukan melabelkannya sesuka hati. Apatah lagi jika didakwa dengan pelbagai manfaat penyembuhan penyakit tetapi tanpa pembuktian saintifik kemudian kesannya tidak seperti yang diuarkan.

Walaubagaimana pun, ada hikmah yang tersirat di sebalik makanan yang disebut di dalam al-Quran dan diamalkan oleh Nabi SAW. Sesetengahnya telah pun dibuktikan melalui kajian saintifik dan ada yang masih belum diterokai. Cuma perlu diselidiki dengan lebih mendalam setiap jenis makanan tersebut dan khasiatnya yang tepat kerana ia mempunyai pelbagai spesies. Walaupun daripada jenis yang sama tetapi keberkesanan dan khasiatnya berbeza. Contohnya madu yang mempunyai pelbagai jenis bergantung kepada jenis lebah dan persekitarannya, dan sudah pastilah ia memberi fungsi yang berbeza. Justeru ia perlu dikaji secara lebih terpenci dan umat Islam tidak harus salah dalam menginterpretasikannya.

Apa yang penting, kajian pembuktian saintifik perlu dilaksanakan dalam isu makanan sunnah adalah untuk memastikan pengguna mendapat manfaat dan khasiat yang dijanjikan. Bukan kebanjiran dakwaan pengeluar/pengilang yang bersifat komersialisasi semata-mata atas sandaran sunnah Nabi SAW. Masyarakat tidak harus menyempitkan persepsi "makanan sunnah" itu dengan makanan tertentu. Selagimana ia mematuhi konsep halal dan tayyib, Islam membenarkannya. Walaupun begitu, amalan memakan makanan yang disebut dalam al-Quran tidak bercanggah dengan konsep dan amalan kesihatan semasa malah digalakkan sekiranya mendatangkan manfaat kepada individu. Namun, sekiranya berlebih-lebihan dalam apa jua makanan yang baik sekali pun, ia tetap akan mendatangkan mudarat. Sebab itu, prinsip adab dan etika pemakanan dalam Islam wajar diketengahkan dan diutamakan serta dijadikan amalan.
sumber: www.ikim.gov.my

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen. Jangan serik untuk singgah lagi ke blog ini

Popular Posts

CADANGAN SUPLEMEN UNTUK SEMUA MASYARAKAT

Anti – Aging
Vivix

Anti- Oxidant

Carotomax,Vitamin C, Vitamin E, Vivix

Asma, Sinus (Resdung),Alergik, (Gegata), Ekzema
Alfalfa,Vitamin B Complex, Vitamin C { ( + Herbal Blend) untuk Ekzema}

Set Menyusu
Vita-Lea,Vitamin B Complex, Vitamin C, Alfalfa, ESP, Ostematrix, Omega Guard, PD

Kesihatan Kanak-kanak
Chewable Vita-Lea, Chewable Vitamin C, Omega Guard, Mealshake

Set Pantang
Vita-Lea,Vitamin B- Complex, Vitamin C, Zinc, Vitamin E, ESP,

Set Diabetis
GLA – Complex, Vitamin C, Vivix, Zink, CoQ Health, Vitalea, ESP

Set Gout
PD, Omega Guard, Alfalfa

Set Penggiat Imun
Nutriferon, Vivix, Vit C, coQ Health

Set Darah Tinggi
Omega Guard, CoQ Health, Garlic

Kesihatan Lelaki
Vita– lea, Vitamin B – Complex, Vitamin C, Vitamin E, Ostematrix, Omega Guard, PD

Wanita Mengandung
Vita– Lea, Vitamin B- Complex, Vitamin C, ESP, Ostematrix, Omega Guard

Rawatan Kulit
Vitamin B – Complex, Vitamin C, Vitamin E, ESP, Ostematrix, Vivix

Set Pengurusan Berat
Lecithin, Cinch Shake Mix, Cinch Energy Tea Mix

Individu Yang Tidak Meminati Tablet atau kapsul
Mealshake, Cinch, ESP, Vivix, Nutriferon

Search